Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng didakwa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hingga menyebabkan kelompongan purata hasil kerajaan sebanyak RM20 hingga RM30 bilion setahun.

Akibat kelompongan ini, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa memperkenalkan cukai dan levi baharu yang lebih membebankan sehingga para pelabur mendapati Malaysia tidak lagi kondusif untuk perniagaan.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki mendakwa, disebabkan itu kerajaan juga dipaksa menjual aset-aset bernilai tinggi negara sehingga RM20 bilion dalam tempoh masa 400 hari pemerintahan PH.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata, penipuan Guan Eng sewaktu menjawab di satu sidang Parlimen dengan mendakwa Wang Kutipan Hasil GST telah dirompak oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu telah menyebabkan pelabur-pelabur hilang kepercayaan berkenaan tahap tadbir urus negara.

Susulan itu, Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar dana asing berterusan sehingga pernah mencecah RM38 bilion dalam tempoh sehari, bahkan Bursa Malaysia pernah mencatatkan kejatuhan teruk 270 mata dari 1,864  mata hingga semalam 1, 574 mata yang bersamaan kehilangan nilai aset sebanyak RM270 bilion.

“Aliran keluar dana asing yang berterusan lantaran kegagalan Lim Guan Eng yang terus angkuh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab sehingga hari ini juga menyebabkan nilai ringgit Malaysia terus jatuh berbanding dollar Amerika Syarikat sehingga ke paras RM4.20 bagi setiap 1 dollar berbanding RM3.80 bagi setiap 1 dollar pada sebelum PRU14.

“Lim Guan Eng telah membentangkan Belanjawan Kerajaan Persekutuan terbesar di dalam sejarah fiskal negara iaitu RM314 bilion, tetapi pada masa yang sama telah memotong dan membatalkan banyak bantuan-bantuan untuk golongan B40 seperti pemansuhan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT), bantuan untuk nelayan, pesawah dan pekebun kecil,” katanya.

Beliau mendakwa, Guan Eng juga tidak berminat dengan pembangunan ekonomi luar bandar dan penduduknya yang rata-ratanya dari golongan B40.

Dakwa Asyraf lagi, Guan Eng pernah mengugut industri dan perniagaan dengan pengenalan cukai-cukai baharu sekiranya kehendaknya tidak dituruti dan ini menakutkan pelabur dan pembiaya.

“Pernah Lim Guan Eng ditegur Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin kerana tidak sepatutnya mengugut bank-bank untuk mengenakan cukai baharu jika arahannya untuk dipermudahkan kaedah pembiayaan perniagaan tidak dipenuhi.

“Lim Guan Eng secara angkuh menggunakan kuasa sebagai Menteri Kewangan untuk memfitnah dan merendah-rendahkan Kerajaan-Kerajaan Negeri seperti Kerajaan Negeri Kelantan yang didakwanya tidak mempunyai dana untuk membayar gaji, Kerajaan Negeri Pahang mengalami kedudukan kewangan yang tenat dengan hutang RM3.1 billion dengan Kerajaan Persekutuan, dan Kerajaan Negeri Sarawak bakal bankrap dalam masa 3 tahun dibawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Lim Guan Eng gagal memahami dan sombong untuk menghormati semangat federalisme di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Lim Guan Eng bertindak membuli dan mengugut Kerajaan Negeri Sarawak untuk membayar RM350 juta terlebih dahulu kepada Kerajaan Persekutuan sebelum beliau boleh meluluskan dan memulakan projek membaiki dan membina sekolah daif di Sarawak.

“Namun walaupun Ketua Menteri Sarawak telah membayar RM350 juta sebagaimana yang didesak, ternyata Lim Guan Eng menipu dan masih melengahkannya dengan alasan mahu mewujudkan pula jawatankuasa diperingkat Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Malah, katanya, tindakan Guan Eng menjarah dana Petronas dengan memaksa pemberian dividen khas sehingga mencecah RM82 bilion dengan alasan untuk membayar kembali tuntutan GST dan Cukai Pendapatan menjejaskan penarafan kredit Petronas oleh badan penarafan antarabangsa Moody’s yang menurunkan penarafan Petronas daripada A1 kepada A2 pada 20 Jun lalu, sekali gus, menjejaskan prestasi kewangan dan daya saing Petronas. – MalaysiaGazette