Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam semasa hadir untuk memberi keterangan terhadap kenyataannya terhadap Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador mengenai isu kes video Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengesahkan menerima arahan polis untuk menyerahkan laporan forensik sebuah syarikat berpangkalan di United Kingdom terhadap salinan video kontroversi yang didakwa melibatkan menteri.

Beliau yang kini berada di Indonesia menerima surat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman apada 26 Ogos lalu.

Lokman turut memaklumkan akan menyerahkan salinan video kepada polis pada 2 September seperti yang dikehendaki.

“Saya dapat surat itu pada 26 September. Saya akan serahkan pada 2 September,” katanya.

Untuk rekod, pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Pada 26 Julai lalu, Lokman hadir ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk direkod keterangan.

Ia susulan tindakannya menuduh Abdul Hamid menipu berkenaan siasatan kes penyebaran video seks sejenis yang didakwa melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada 18 Julai lalu, Hamid berkata, kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi, namun wajah pelakunya tidak dalam dicam.

Bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku terlibat dalam aksi asmara sejenis itu tetapi Azmin menafikannya dan menyifatkannya sebagai komplot untuk memusnahkan kerjaya politiknya.-MalaysiaGazette