Datuk Marina Mahathir.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Sister In Islam (SIS) walaupun pertubuhan itu sudah diisytiharkan sebagai sesat dan menyeleweng.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, SIS masih bebas beroperasi disebabkan pertubuhan itu didakwa dinaungi oleh anak kepada Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sister In Islam sesat? Masih dibenar menggunakan perkataan Islam? Apa pandangan yang lain?

“Benarkah tindakan tidak diambil tindakan kerana anak PM di belakang?” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan semakan kehakiman oleh SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan tersebut sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas mendapati mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Forum SIS (Malaysia) pada 31 Oktober 2014 memfailkan permohonan bagi memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS ITU.

Antara keputusan itu menyatakan, organisasi itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang kononnya “berpegang dengan fahaman liberalisme dan pluralisme agama” sebagai “sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”.

Pihak pemohon juga memohon perisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa dan MAIS melalui fatwa tersebut yang mengarahkan sekatan dibuat ke atas laman-laman sosial adalah bercanggah dengan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka antara lain memohon perisytiharan iaitu keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS melalui fatwa itu adalah ultra-vires (melampaui batasan undang-undang).

Selain itu, Badrul Hisham turut berkongsi hantaran Facebook Page bernama Anti Mahathir Pro Anwar yang mendedahkan beberapa individu yang mendalangi pertubuhan berkenaan.

Ini termasuklah anak Perdana Menteri, Marina Tun Dr Mahathir dan peguam kontroversi, Siti Kassim.

Menurut Facebook Page itu, SIS di peringkat antarabangsa telah diasaskan oleh seorang bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Amina Wadud yang mengimamkan solat Jumaat di New York, Amerika Syarikat.

Amina mempersoalkan adakah tuhan itu zalim jika hanya membenarkan lelaki mengimamkan solat Jumaat dan menyampaikan khutbah. – MalaysiaGazette