Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Hamidah Osman.

KUALA LUMPUR – Datuk Hamidah Osman berkata pemergian Perdana Menteri ke luar negara dilihat gagal membawa pulang sebarang pelaburan setelah berjuta-juta ringgit dikeluarkan kerajaan.

Naib Presiden Parti Putra itu mendakwa aset negara telah banyak dijual namun rakyat masih gagal menikmati hasil daripada penjualan itu.

“Atok (Tun Dr. Mahathir Mohamad) asyik keluar negara dan menghabiskan berjuta juta duit negara tapi tiada apa pun yang dibawa balik selain daripada anugerah untuk diri dia.

“Rakyat bertambah susah dan setiap hari kita dihidangkan dengan berita ramai yang hilang perkerjaan dan sumber pendapatan tapi Atok tidak pernah ambil kisah.

“Duit rizab bertambah kurang, hutang terus meningkat dan terkini hendak ambil hutang lagi dengan Jepun. Aset negara banyak yang telah dijual dan banyak lagi dalam perancangan akan dijual.

“Harga barang terus mencanak naik. Apa hendak jadi,” katanya di Facebook hari ini.

Hamidah yang pernah menjadi antara pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu mengulas mengenai beberapa lawatan rasmi Mahathir ke luar negara sebelum ini.

Tahun lalu sahaja, lawatan ke luar negara Mahathir mencatatkan perbelanjaan lebih RM14 juta untuk membiayai lawatan rasmi beliau.

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md Farid Md. Rafik.

Jumlah itu melibatkan 22 lawatan sepanjang tahun lalu.

Untuk rekod, pada April tahun ini kerajaan telah membelanjakan RM12.7 juta bagi lawatan rasmi anggota kabinet ke luar negara antara Mei dan Disember 2018 yang meliputi 31 perjalanan.

Mahathir membuat lawatan rasmi ke Jepun sebanyak dua kali pada November tahun lalu dan Mei lalu, United Kingdom pada Jun, Turki pada Julai dan Vietnam sejak Isnin sehingga semalam. -MalaysiaGazette