Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran agar tidak membuang masa, tenaga dan wang rakyat untuk membawa kembali perkhidmatan bas mini dan memulakan perkhidmatan motosikal e-hailing.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, amat malang jika anak muda terpaksa menyambut tahun baru bersama aspirasi Wawasan 2020 dengan keadaan Malaysia seperti waktu 1970-an.

“Dasar pengangkutan awam seharusnya menjadi lebih baik ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

“Namun begitu, pada minggu lepas kabinet telah meluluskan dasar motor e-hailing seperti gojek dan semalam diumumkan pula bahawa perkhidmatan bas mini akan dilaksanakan kembali setelah dihentikan 21 tahun yang lalu.

“Anak muda amat gusar dengan perkembangan dasar-dasar pengangkutan awam yang ke belakang seperti gojek dan bas mini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, bas mini mula diperkenalkan pada tahun 1975 dan ia ditamatkan pada tahun 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.

Ujarnya, perdana menteri keempat telah membatalkan perkhidmatan berkenaan pada tahun 1998 kerana faktor keselamatan dan kesesakan lalu lintas.

Namun kini katanya, menerusi perdana menteri ketujuh dan merupakan orang yang sama juga cuba untuk memperkenalkannya kembali.

Justeru tambah beliau, DPIM menggesa kerajaan memperkasakan perkhidmatan awam dengan melaksanakan dasar-dasar menggalakkkan pertumbuhan perkhidmatan awam yang bersih dan hijau menerusi tren elektrik seperti LRT dan MRT sebagai contoh perkhidmatan awam ke arah negara maju.

Ujarnya, kesesakan jalan raya perlu dikurangkan dan pertambahan motosikal melalui gojek dan pertambahan bas mini bakal mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang terus pada masa hadapan.

“Negara kita bakal menjadi seperti negara-negara jiran yang kurang integrasi sistem perkhidmatan awam, tetapi jalan raya dipenuhi oleh lambakan motosikal dan bas mini,” katanya.

Jelas beliau, keselamatan pengguna jalan raya seharusnya menjadi aspek penting yang diteliti oleh kerajaan dan lambakan motosikal serta bas mini hanya akan menjadikan statistik kemalangan jalan raya makin bertambah. – MalaysiaGazette

Bas mini kembali warnai KL