Presiden Dewan Perniagaan dan Kebangsaan Industri Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan Cina Bersekutu dan Industri Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Datuk Ter Leong Yap berucap pada National Economic Forum 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2019

KUALA LUMPUR-Komuniti perniagaan meminta kerajaan menimbangkan pengurangan berfasa cukai korporat kepada 20 peratus dalam tempoh beberapa tahun semasa pembentangan Bajet 2020, November ini.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Tan Sri Ter Leong Yap berkata, ini bagi merangsang pelaburan tempatan dan mengurangkan kos perniagaan.

Kerajaan tegasnya, perlu merangka Pelan Strategi Pelaburan Kebangsaan untuk merangsang pelaburan swasta dan meletakkan Pelaburan Domestik (DDI) terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) setaraf dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Rangka kerja itu katanya perlu juga melihat kepada aspek-aspek untuk merekayasa semula landskap daya saing dan insentif pelaburan di Malaysia.

Leong Yap juga menggesa sektor awam supaya menjadi rakan kongsi pro-aktif dalam membantu mengembangkan perniagaan di negara ini.

“Daripada memainkan peranan sebagai regulator yang pasif, sektor awam boleh menjadi rakan kongsi pro-aktif di dalam membantu mengembangkan perniagaan.

“Ini akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak kerana apabila perniagaan berkembang, 24 peratus keuntungan akan pergi terus kepada kerajaan dalam bentuk cukai korporat.

“Ini belum lagi dikira dari segi peluang pekerjaan dan manfaat-manfaat lain kepada ekonomi,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Tambah Leong Yap, turut mencadangkan supaya pengurangan cukai diberikan kepada syarikat bagi menggalakkan lebih banyak latihan dan pembangunan terutamanya dalam Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Geran untuk inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta automasi perlu ditambah bagi memudah cara para PKS untuk beralih kepada IR 4.0.

“Ini mungkin termasuk melanjutkan Elaun Pelaburan Semula (RA) tanpa tarikh tamat berbanding tempoh yang diberikan sekarang iaitu 15 tahun.

Beliau juga meminta moratorium diberikan kepada peningkatan levi pekerja asing sehingga 2021 bagi mengurangkan kos buruh kepada semua PKS.

Levi-levi berkenaan katanya boleh disalurkan semula kepada Dana Penyelerasan Revolusi Industri bagi membantu syarikat-syarikat beralih kepada automasi dan teknologi.

Leong Yap juga mencadangkan satu teras ambang bagi pembelian hartanah oleh rakyat asing disemak semula bagi menggalakkan lebih ramai orang luar melabur di negara ini.

Selain itu, beliau juga meminta supaya Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) dimansuhkan ke atas penjualan hartanah selepas lima tahun.- MalaysiaGazette