Sebahagian pengunjung melawat tapak jualan pada Minggu Usahawan Nasional 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 OGOS 2019

SERDANG – Para peserta yang menyertai Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) menyifatkan program itu mampu membuka peluang lebih luas kepada usahawan untuk memasarkan produk masing-masing.

Ini kerana, dengan adanya penganjuran secara besar-besaran seperti itu golongan peniaga dapat dihimpunkan sekaligus mencetus idea baharu kepada usahawan yang menjual produk sama untuk mencipta kelainan terhadap produk keluarannya.

Rata-rata peniaga yang ditemui MalaysiaGazette memuji langkah diambil oleh Kementerian Pembangunan Usahawan kerana mewujudkan satu program yang benar-benar memberi manfaat kepada peniaga Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Seorang peniaga makanan berunsurkan salai, Mohd Zaini Saad, 37, berkata, ini merupakan program kali keenam anjuran kementerian berkenaan yang pernah disertai sebelum ini.

Katanya, dia bersyukur menjadi peserta dalam program tersebut kerana dapat memperkenalkan jenama masakan salai yang terkenal di Negeri Sembilan kepada pengunjung yang datang selain peniaga dan usahawan lain.

Mohd Zaini Saad

“Program ini memang sangat baik sebab secara tak langsung dapat mengumpulkan peniaga-peniaga dari seluruh negara di satu tempat.

“Pengunjung yang datang pula boleh makan apa sahaja dan mereka tak perlu pergi ke Pulau Pinang atau Sarawak untuk merasa makanan negeri itu,” katanya.

Beliau berkata, hasratnya menyertai MUN 2019 bukanlah untuk mengejar keuntungan sebaliknya mahu menonjolkan masakan berunsurkan salai yang menjadi identiti rakyat Negeri Sembilan.

Bagi Fazlina Anuar, 38, yang merupakan peserta usahawan dari Melaka, menyertai program berkenaan dapat mempromosikan kepada umum tentang perniagaan kambing bakar dan sos perapan yang diusahakan oleh keluarganya.

Fazlina Anuar

Katanya, beliau yang sebelum ini merupakan seorang eksekutif akaun dan telah mengusahakan bisnes keluarganya sejak 2014, dapat mengenengahkan perniagaan itu sekaligus memberi pulangan lumayan menerusi jualan terus kepada pengunjung sepanjang empat hari berada di situ.

“Alhamdulillah, hari ini sahaja saya dah dapat jual lebih 40 kilo daging kambing bakar dan permintaannya sangat luar biasa.

“Ini adalah program pertama kementerian ini untuk tahun ini yang saya sertai dan hasil jualan cukup memberangsangkan,” ujarnya.

M Zulhilmi A Rahman,

Sementara itu, seorang peniaga madu kelulut, Mohd Zulhilmi Abdul Rahman, 29, mencadangkan agar pihak kementerian melakukan promosi lebih hebat di laman sosial bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung untuk hadir ke program berkenaan.

Katanya, tidak cukup dengan hanya membuat promosi dan iklan di televisyen kerana pada masa ini penggunaan laman sosial lebih meluas serta lebih berkesan.

“Mungkin hari ini hari bekerja jadi tak ramai pengunjung yang datang. Tapi, tak tahulah nanti esok lusa macam mana sebab pada masa itu orang bercuti,” katanya. – MalaysiaGazette