Jeniri Amir

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu membuat perubahan drastik dalam masa tiga tahun ini untuk terus bertahan, kata pemerhati politik.

Menyifatkan ia tempoh singkat, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr. Jeniri Amir berkata, sekiranya mereka tidak fokus menunaikan janji manifesto – mereka berisiko kehilangan kerusi yang banyak pada PRU-15.

Jelas beliau, rakyat rata-rata marah dan kecewa dengan prestasi PH yang dilihat gagal mengotakan janji yang digunakan untuk menawan hati pengundi sebelum ini.

“Masalah PH ni adalah satu, tidak tunaikan janji dalam manifessto janji dan ini betul-betul mengecewakan rakyat.

“Tidak kalah tapi hilang banyak lebih kerusi. Saya percaya mereka sedar kesilapan ini, mereka ada tiga tahun lagi untuk buat pembetulan dengan drastik dengan menampilkan perubahan yang memihakm menguntungkan rakyat memenuhi janji,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Jeniri,  rakyat turut kecewa dengan barisan kabinet yang dilihat sering membuat pusingan U dalam apa juga keputusan pra-matang yang dilakukan membabitkan ketidakpuasan hati parti komponennya.

Bukan sahaja memperlihatkan ketidakmampuan, dalam masa yang sama situasi yang sama membuktikan PH hanya tahu berpolitik berbanding menjalankan tugas kepada rakyat.

Khususnya menyentuh isu pelaksanaan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang bagi Jeneri sudah tentu mengundang amarah kaum Cina.

“Kaum Cina amat kecewa isu membabitkan mereka tulisan Jawi menyebabkan Cina marah dengan PH, mereka kecewa sedangkan ketika menjadi pembangkang mereka mengkritik Barisan Nasional (BN), memberi harapan palsu kepada rakyat.

“Masalah dalaman parti komponen PH juga membawa mudarat kepada mereka lebih banyak berpolitik daripada menyelesaikan isu rakyat yang lebih mendesak,” katanya lagi.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata PH akan berdepan detik sukar untuk menang PRU-15 sekiranya gabungan parti itu tidak mahu mendengar keluhan rakyat.-MalaysiaGazettte