Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof meluangkan masa melawat pameran pada Minggu Usahawan Nasional 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 OGOS 2019

SERDANG – Kementerian Pembangunan Usahawan tidak akan meneruskan lagi Konvensyen untuk Memperkasa Usahawan Bumiputera pada masa-masa akan datang.

Ia bertujuan untuk menjadikan bidang keusahawanan lebih inklusif dengan hala tuju jelas dan mempunyai sasaran, kata menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata, Konvensyen Keusahawanan Bumiputera telah dibuat sebanyak tiga kali dalam tempoh 62 tahun kemerdekaan dan tahun lepas merupakan yang ketiga dan terakhir.

“Kita nak lebih inklusif, lebih jelas dengan hala tuju dan sasaran kita. Jadi kita nak merangkumi semua dengan Dasar Keusahawan Nasional dan adanya naratif bersama.

“Bagi saya tak payahlah nak buat satu konvensyen khusus untuk Bumiputera,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Keusahawan Nasional 2019 di Maeps di sini hari ini.

Bagaimanapun, Redzuan berkata, langkah itu terkecuali jika tiba masa kementeriannya mahu mengukur pencapaian dan ia perlu diberikan perhatian.

Katanya lagi, pada masa ini telah tersebar maklumat mengenai banyaknya peluang dan sokongan yang diberikan oleh banyak kementerian dalam membantu usahawan meningkatkan perniagaan.

Tambahnya, Kementerian Pembangunan Usahawan akan memastikan rakyat yang terdiri dalam kalangan kaum Melayu dan Bumiputera lain serta India dan Cina makmur bersama dalam keusahawanan. – MalaysiaGazette