Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kiri) menyerahkan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Penyanyi, Ku Nazhatul Shima atau Shima (dua kiri) diiringi Pengerusi Yayasan Kebajikan Tanahair, Datuk DJ Dave (dua kanan) pada Majlis Penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Selangor kepada penyanyi Ku Nazhatul Shima atau Shima di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 30 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengemukakan 125 nama artis bagi mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Daripada jumlah itu, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, sebanyak 19 permohonan ditolak kerana telah mempunyai rumah sendiri.

Jelasnya, sebagai permulaan sekurang-kurangnya enam  hingga tujuh artis layak menerima rumah PPR.

“FINAS di bawah Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mengemukakan 125 nama kepada saya untuk dipertimbangkan diberi seunit rumah kepada mereka KPKT meneliti setiap nama,

“Sebanyak 19 nama kita tidak dapat luluskan kerana sudah mempunyai rumah,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Lembah Subang 2 kepada artis 90-an, Shima.

Usaha ini, ujarnya, merupakan penghargaan kepada penggiat seni yang juga pernah memberi sumbangan kepada tanah air suatu ketika dahulu.

“Ini sumbangan negara yang ramai orang tidak ambil berat. Mereka (penggiat seni) hanya dikenali bila bergiat seni dan muncul di kaca televisyen. Tapi bila masanya mereka berundur diri juga dilupakan dan tidak dikenang,” tambahnya.

Rumah PPR yang diberikan kepada penggiat seni hanya mereka yang benar-benar memerlukan, kata Zuraida, adalah menerusi sewaan beli selama dua tahun.

Rata-rata rumah yang diberikan adalah berharga RM190,000.

Turut hadir dalam majlis penyerahan surat tawaran rumah itu ialah Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave. – MalaysiaGazette