Timbalan Sekretariat Suara Rakyat , Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bercakap kepada media selepas menghantar laporan siasatan forensik ke atas klip video dan gambar mirip menteri Kabinet, Azmin Ali kepada pejabat Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 30 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Sekretariat Suara Rakyat dan Pertubuhan Bangkit mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas tingkah laku tidak bermoral.

Berikutan itu, satu laporan forensik yang diperolehi dari pakar United Kingdom (UK) telah diserahkan kepada Perdana Menteri menerusi wakilnya di Pejabat Perdana Menteri hari ini untuk penelitian Dr. Mahathir.

Menurut Timbalan Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, serentak dengan penyerahan laporan forensik berkenaan, pihaknya mendesak Dr. Mahathir mengenai tiga perkara.

Pertama, katanya, NGO berkenaan memohon Perdana Menteri memecat Mohamed Azmin kerana telah melakukan kelakuan luar tabii dan tindakannya itu tidak bermoral serta tidak patut ada pada seorang menteri Kabinet.

“Desakan kedua, kita meminta Dr. Mahathir mengarahkan Jabatan Agama Islam mengambil tindakan keagamaan terhadap Timbalan Presiden PKR itu.

“Dan desakan ketiga, kita mahu kes seks luar tabii ini dibawa ke mahkamah untuk diadili,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan laporan forensik di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.

Laporan 55 muka surat itu mengandungi jawapan terperinci pakar forensik UK, James Zjalic yang menurut Mohamad Ali, 99 peratus pelaku dalam video seks luar tabii itu adalah Mohamed Azmin.

Menurut beliau, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu boleh didakwa bawah Seksyen 377 (B) kerana kesalahan melakukan seks luar tabii secara sukarela dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

“Ini kes jenayah yang perlu diadili, kita percaya negara mengamalkan demokrasi dan pertahankan keluhuran perlembagaan.

“Kami melalui NGO Suara Rakyat dan Pertubuhan Bangkit memohon Dr. Mahathir untuk memberikan kebebasan kepada polis mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita juga mendesak Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador bertindak secara profesional dengan kes ini,” katanya.

Beliau menyatakan, NGO itu dan seluruh rakyat hairan bagaimana pasangan seks yang mengaku terlibat dalam kes itu diambil tindakan siasatan, sedangkan seorang pagi pasangannya dibiarkan bebas.

Mohamed Azmin, tegasnya adalah seorang menteri kanan dan apa yang berlaku itu adalah perkara yang sukar dihapuskan walaupun selama 20 atau 30 tahun akan datang kerana kejadian itu dalam bentuk rakaman video.

“Macam mana polis boleh sembunyikan kebenaran ini. Ini amat memalukan kerana rakaman ini akan tercatat berzaman-zaman lamanya. Semua rakyat tahu dan ada rakaman itu untuk tatapan generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette