Pakatan Harapan (PH) tidak memandang rendah kekuatan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, kata Ketua Sekretariatnya Datuk Saifuddin Abdullah. 
foto: Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mempunyai pilihan lain, selain meninggalkan segala prasangka serta fahaman lampau yang mengancam kesinambungan kejayaan rakyat negara ini yang telah melaksanakan sebuah perubahan politik yang begitu besar pada 9 Mei 2018.

Lantaran itu, rakyat Malaysia perlu bersama-sama menghargai keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini dengan mendidik diri dan keluarga serta jiran tetangga supaya saling memahami, bertoleransi dan melayani satu sama lain dengan berbuat kebaikan serta menjauhi sikap melampau yang cuba dicetuskan pihak-pihak yang hanya melakukannya demi kepentingan politik mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Muhammad Yassin; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik.

Mengakui negara ini terus diasak sentimen perkauman walaupun sudah 62 tahun bebas daripada ancaman penjajah, para pemimpin barisan Pakatan Harapan itu mengingatkan apa yang telah dikecapi rakyat negara ini boleh hilang dalam sekelip mata sekiranya kita gagal mengingatkan diri tentang pengorbanan dan kepayahan yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu.

Tidak kira pemimpin politik, anggota tentera yang telah gugur demi ibu pertiwi, serta seluruh anak bangsa yang telah memberikan jiwa dan raga mereka untuk negara, menurut kenyataan tersebut.

Menurut mereka lagi, 62 tahun lalu, kita bersama-sama telah bersepakat dan membuat keputusan bahawa negara ini milik kita bersama dan kitalah yang sepatutnya menguruskan kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya, supaya hasil kemakmuran bumi bertuah ini dapat dikongsi bersama.

Pada tahun 1963, kita telah membentuk sebuah persekutuan bersama-sama Sabah dan Sarawak; dan kemudiannya Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang majmuk dan kaya dengan pelbagai budaya serta tradisi.

Meskipun berbilang keturunan, agama, bahasa, budaya dan adat resam, rakyat negara ini tidak pernah lelah dalam usaha membina sebuah bangsa yang tetap bersatu padu. – MalaysiaGazette