KUALA LUMPUR – Saban tahun, tarikh keramat 31 Ogos bukan sahaja sinonim dengan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan negara, bahkan ia mencatat momen bermakna buat pasangan ibu bapa yang menyambut kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-62 kemerdekaan negara hari ini, kelahiran bayi ‘merdeka’ menjadi antara tumpuan liputan dan agenda keraian di beberapa hospital serta pusat bersalin di seluruh negara.

Di ibu negara, lima kelahiran bayi generasi pewaris dicatatkan di Hospital Kuala Lumpur sejak detik 12 tengah malam tadi dengan dua bayi lelaki dan tiga perempuan, setakat pukul 12 tengah hari.

Di SELANGOR, seramai 56 bayi dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini, setakat pukul 12 malam sehingga 8 pagi ini.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata antara hospital itu ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Shah Alam, Selayang dan Kajang.

“Daripada 56 bayi itu, 21 adalah bayi lelaki dan 35 bayi perempuan. Sepuluh bayi dilahirkan di di HTAR, tujuh bayi di Hospital Shah Alam dan dua pasangan kembar masing-masing di Hospital Selayang serta Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah bayi itu juga 45 daripada mereka adalah berbangsa Melayu, India (tujuh), Cina (dua) dan masing-masing satu warga Myanmar serta Indonesia.

Di PUTRAJAYA, seramai 10 kelahiran bayi Merdeka direkodkan di Hospital Putrajaya dengan enam lelaki dan empat perempuan.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 18 kelahiran bayi direkodkan terdiri daripada sembilan bayi lelaki dan sembilan bayi perempuan, masing-masing di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (13) dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah (lima), sehingga 12 tengah hari ini.

Di JOHOR, seramai 20 bayi merdeka dilahirkan di beberapa buah hospital di sini, dengan bayi pertama dilahirkan pada pukul 12.16 tengah malam tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 11 adalah bayi perempuan manakala sembilan lagi bayi lelaki.

Di KOTA KINABALU, seramai 17 bayi merdeka dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, di sini, sehingga 12 tengah hari dengan 11 daripadanya adalah perempuan manakala enam lagi bayi lelaki.

Di KEDAH, seramai 31 bayi, membabitkan 17 bayi lelaki dan 14 bayi perempuan, dilahirkan di beberapa hospital sehingga 10 pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata kelahiran paling awal direkodkan ialah di Hospital Kulim iaitu pada pukul 12.10 pagi membabitkan seorang bayi lelaki seberat 3.4 kilogram.

“Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan 10 bayi; Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani (sembilan); Hospital Kulim (tujuh) dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dengan lima bayi,” katanya dalam satu kenyataan.- BERNAMA