Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor mahu setiap rakyat mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengelakkan sebarang bentuk pertelagahan dan perpecahan berpunca daripada anasir-anasir negatif, sengaja diprovokosi pihak-pihak tertentu yang mahu mencemar perpaduan yang telah dibina selama ini.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat supaya jangan mudah percaya dengan fitnah dan berita-berita tidak sahih khususnya di media sosial yang cuba mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman hubungan sesama kaum.

Tegasnya, seluruh rakyat perlu mengamalkan sikap toleransi dan berusaha untuk saling memahami serta meraikan perbezaan adat, budaya dan agama supaya kita dapat terus hidup dalam suasana merdeka dalam erti kata sebenar.

“Beta berharap sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun sebegini akan terus menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat jelata, serta mampu menyemai rasa cinta dan sayang kepada negara dalam jiwa semua kaum dan bangsa di Malaysia.

“Beta doakan agar Malaysia sentiasa dirahmati dengan keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan.” titah baginda dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ke-62.

Semangat itu, tambah baginda haruslah dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette