KUALA LUMPUR  – Enam pemain muda negara akan berguru di Jepun bermula September ini secara berperingkat atau fasa.

Kerjasama itu dimeterai ketika delegasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengadakan perbincangan dua hala dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) selama lima hari di Tokyo bermula 26 Ogos lalu.

Kunjungan itu adalah susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 5 April lalu.

Empat pemain diketuai penyerang dalam pembikinan, Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari akan menimba ilmu dengan Cerezo Osaka dari 3 hingga 13 September 2019.

Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd. Khalili bersama Luqman sekali lagi akan ke Akademi JFA dan FC Tokyo pada Oktober depan.

“Nama-nama ini dipilih selepas saringan berdasarkan prestasi pemain yang dipantau FAM, Akademi Mokhtar Dahari dan Pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“Penempatan pemain berkenaan di negara matahari terbit ini bertujuan memberi pendedahan, pengalaman dan peluang untuk mereka membiasakan diri dengan corak latihan dan permainan, serta cara hidup di sana jika mereka terpilih atau berpeluang beraksi di Liga Jepun pada masa akan datang,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam laman Facebook persatuan itu di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast