Hubert terbunuh dalam nahas semasa perlumbaan F2 GP Belgium.

BELGIUM – Pemandu Formula 2 Anthoine Hubert terbunuh dalam nahas di Grand Prix Belgium.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang bertanggungjawab memantau sukan permotoran itu mengesahkan berita itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pelumba warga Perancis yang baru berusia 22 tahun bertembung dengan kereta yang dipandu warga Amerika Juan Manuel Correa pada kelajuan 170 batu sejam di Litar Raidillon.

Menurut kenyataan FIA lagi, Hubert telah dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Pusat perubatan berhampiran selepas insiden itu sebelum disahkan meninggal dunia 6.35 petang waktu tempatan.

Manakala pelumba AS Correa masih diletakkan dalam pemantauan di  Unit Rawatan Rapi (ICU) bagaimanapun keadaan dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.

Pelumba itu mengalami keretakan tulang pada kedua dua kakinya dan kecederaan kecil pada tulang rusuk semasa perlanggaran dan dibawa ke hospital menggunakan helikopter.

Juan Manuel sedar sehingga dimasukkan ke dalam bilik pembedahan.

Rentetan kejadian itu, perlumbaan F2 itu dihentikan dan ditutup terus selepas menerima berita sahih mengenai situasi pelumba.

F2 mengumumkan bahawa perlumbaan memecut yang dijadualkan Ahad turut dibatalkan sebagai menghormati mangsa kemalangan manakala F3 akan diteruskan.

Hubert yang menandu BWT pasukan Arden menduduki tangga ke lapan dan dua kali menaiki podium sebagai juara musim ini di GP Monaco dan Perancis.

Dia juga sebahagian program pelumba muda Renault F1.

Renault dalam kenyataan berkata Anthoine merupakan ahli Akademi Sukan Renault dan berlumba Kejuaraan Formula 2 FIA sebelum melangkah ke F1.- MalaysiaGazette