KUALA LUMPUR – Walaupun sebelum ini pendakwah terkenal dan berkontroversi, Dr. Zakir Naik telah diharamkan berceramah di Melaka namun kini ‘keadaan’ itu mungkin sudah berubah.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, berkata kenyataan ‘panas’ yang dikeluarkan pendakwah dari India itu dikesan menimbulkan kemarahan sesetengah masyarakat pelbagai kaum, khususnya kaum Cina dan India

Berikutan itu, kerajaan negeri kekal dengan pendirian untuk mengharamkan Zakir daripada menyampaikan ceramahnya di negeri ini.

Bagaimanapun, sejak beberapa hari lalu tersebar poster ‘Malam Islam Bersatu’ yang memaparkan gambar Zakir dengan Pengerusi Masjid Cina Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dalam satu majlis yang akan diadakan pada 7 September ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh (DAP), Kerk Chee Yee, beliau telah memberi peringatan berhubung keputusan Adly selaku Menteri Besar Melaka berkaitan Zakir sebelum ini.

Kata ADUN termuda di negara ini, beliau memberi peringatan itu di laman sosial Facebook miliknya dengan menyatakan Zakir merupakan individu kontroversi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Walaupun tidak memberi ceramah, Zakir Naik merupakan individu yang menimbulkan kontroversi antara masyarakat Malaysia.

“Semua pihak daripada kerajaan negeri Melaka harus bertindak mengikuti semangat (act in spirit) keputusan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang mengharamkan Zakir Naik berceramah di Melaka supaya kesejahteraan masyarakat dapat dipelihara,” katanya.

Anak mendiang bekas Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock itu juga menulis dalam bahasa Cina berhubung perkara itu selain melampirkan poster itu.

Tulisan itu juga mendapat sokongan segelintir pihak yang tidak mahu Zakir berceramah.

Bagaimanapun, ramai juga netizen yang tidak bersetuju dan meminta Chee Yee untuk hanya menumpukan perhatian tugas-tugas beliau dan tidak campur tangan dalam isu berkaitan dengan agama Islam.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Selain Melaka, negeri lain yang turut melarang dakwah penceramah terbabit adalah Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Pihak polis juga telah mengeluarkan arahan sama terhadap Zakir di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap berpendirian untuk tidak mengektradisi Zaki walaupun mendapat tuntutan dari India selain desakan pelbagai ahli politik khasnya DAP untuk menghantarnya pulang. –MalaysiaGazette