Sebahagian pekerja penjawat awam berikrar " Perkhidamatan Awam" pada Majlis Perhimpunan Perdana CUEPACS bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2019

APABILA  Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menyatakan kementeriannya kini sedang memperhalusi cadangan untuk meningkatkan umur persaraan daripada 60 tahun  kepada 65 tahun, terus sebaris lirik lagu nyanyian Nirwana Band dari Indonesia terlintas difikiran, ‘Sudah cukup cukup sudah, cukup sampai di sini saja’.

Lagu ini tiada kaitan dengan kisah umur persaraan, cuma jika benar umur persaraan akan dilanjutkan lagi maka ramai rakyat Malaysia yang kecewa dan patah hati. Membaca ruangan komen di media sosial dan hasil undian secara atas talian oleh agensi berita menatijahkan majoriti tidak bersetuju had umur ditingkatkan lagi. ‘Sudah cukup sudah’ dengan had umur sedia adalah mesej jelas yang ingin disampaikan.

Semua ini berpunca dari cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang memohon kerajaan memperkenal pemberian elaun bantuan sara hidup (COLA) minimum RM500 kepada pekerja sektor swasta dan meningkatkan had umur persaraan kepada 65 tahun dalam Belanjawan 2020. Justifikasi MTUC untuk memberi perlindungan sewajarnya kepada pekerja, selain meningkatkan tahap ekonomi rakyat terpinggir.

Jika kerajaan menerima cadangan ini, ia bukanlah kali pertama had umur persaraan di Malaysia dinaikkan. Pada 2001, ia kali pertama dinaikkan dari 55 tahun kepada 56 tahun diikuti kali kedua pada 2008 iaitu dari umur 56 tahun kepada 58 tahun pula. Pada 27 Jun 2012, kerajaan telah membentangkan Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 di Parlimen yang menetapkan umur persaraan dilanjutkan sehingga 60 tahun dan ia diluluskan untuk dikuatkuasakan mulai 2013 sehingga kini.

Peningkatan umur persaraan pastinya akan mempunyai kesan rantaian atau chain reactions khususnya kepada pasaran tenaga kerja. Mengambil contoh dalam perkhidmatan awam misalnya, pelanjutan umur bermakna peluang-peluang pekerjaan baharu dalam sektor awam tertutup atau tertangguh. Sifirnya mudah kerana tanpa berlakunya persaraan, tiadalah kekosongan jawatan dan pengambilan pekerja baharu juga terbeku sedangkan peluang pekerjaan baharu pula terhad.

Memikirkan pula kepada yang mereka yang sedang berada dalam perkhidmatan, peluang kenaikan pangkat juga akan terkesan dek kerana ‘orang atasan dan lama’ belum bersara, maka mereka di lapisan bawah perlu tunggu lebih lama giliran atau peluang untuk naik mungkin tertutup terus.

Faktor produktiviti yang memfokuskan kepada daya kerja dan daya saing pekerja juga perlu difikirkan. Sudah memasuki kategori warga emas, mampukah mereka berdaya maju dan mampu meningkatkan produktiviti seperti yang diinginkan. Dengan kemudahan kesihatan yang lebih baik, diakui terdapat yang masih cergas dan kudrat seperti orang muda, tetapi dibimbangi lebih ramai yang menjadi sekadar rakam masuk dan rakam pulang sahaja. Sepanjang waktu bekerja lebih banyak berehat dan diberi kelonggaran membuat kerja ringan atas faktor usia.

Pengangguran tinggi dalam kalangan siswazah kini adalah petunjuk bahawa permintaan kepada pekerjaan jauh melebihi tawaran atau peluang yang ada. Ketegasan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bangun membantah dan membangkang cadangan ini punyai alasan yang kukuh. Beliau prihatin pada nasib 500,000 anak muda semasa yang masih menganggur dan akan lebih bertambah dimasa mendatang sekiranya dilaksanakan pelanjutan ini. Kita ini suka melaksanakan sesuatu kerana ingin mengikut seperti negara maju, tetapi terlebih dahulu lebih baik jika ukur baju dibadan sendiri, jangan sampai untung secupak rugi segantang.

Penulis merupakan Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam (USIM) Malaysia serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.