Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke Siew Fook

RAWANG – Kerajaan berhak menentukan kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) kerana ia adalah pemilik lapangan terbang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Loke menegaskan bahawa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah pengendali dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) adalah pengawal selia, dan kedua-duanya adalah entiti berkaitan kerajaan.

“Semua aset adalah milik kerajaan. Kadar (PSC) merupakan keputusan kabinet, bukan Kementerian Pengangkutan. Kami tidak merendahkan sesiapa pun,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang di Serendah di sini hari ini .

Beliau juga berkata caj PSC yang lebih rendah tidak akan menjejaskan pendapatan MAHB.

“Ini berita baik untuk semua kerana kami bersetuju untuk menurunkan caj, yang kami percaya akan merangsang industri pelancongan,” kata Loke.

Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan PSC untuk penerbangan antarabangsa dikurangkan dari RM73 kepada RM50 di semua lapangan terbang di Malaysia, kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), berkuat kuasa 1 Okt.

PSC bagi penerbangan ke ASEAN kekal pada RM35 dan RM11 bagi penerbangan domestik.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) semalam berkata keputusan kerajaan untuk campur tangan dan menurunkan caj PSC menjejaskan kredibiliti Mavcom, dan akan merugikan KLIA berbanding lapangan terbang lain.

“Kerajaan juga telah menjejaskan kredibiliti Mavcom. Mavcom dilantik sebagai pengawal selia ekonomi untuk lapangan terbang dan mempunyai mandat dan kuasa untuk menentukan caj lapangan terbang. Ini merupakan proses dalam menetapkan caj lapangan terbang,” Naib Presiden IATA Asia Pasifik, Conrad Clifford dipetik sebagai berkata. – MalaysiaGazette