Mark Adam. foto ADIB AIMAN ROSLI, 22 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Impian penyanyi, Mark Adam yang mahu membalas jasa ibunya, Florenda Macaraig Echivarre akhirnya tercapai.

Lebih menyentuh hati, Mark memberitahu impian untuk memberikan keselesaan kepada ibunya itu telah disimpan sejak 23 tahun lalu.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram, penyanyi yang popular dengan lagu Marry Me itu membuat kejutan dengan menghadiahkan ibunya sebuah banglo di kampung halamannya di Filipina.

Pada awal rakaman, Mark menutup mata ibunya sebelum membawa wanita itu membonceng motosikal ke sebuah lokasi berdekatan.

Sebaik tiba di sana, Florenda disambut dan diberikan kejutan oleh ahli keluarga yang lain.

“Emak nanti bila saya sudah besar saya akan belikan emak rumah (1996). Terima kasih kepada @ezzpowers kerana menjadikan ia realiti.

“Tak pakai topi keledar sebab tempat rumah baharu sangat dekat dengan rumah sewa lama emak di kampung,” demikian tulis Mark di entri tersebut.

Mark turut melahirkan rasa syukur dan memaklumkan pada awalnya ibunya tidak percaya yang rumah tersebut merupakan kediaman baharunya.

Beberapa hari lalu, Mark juga membuat kejutan kepada keluarga apabila ‘menerbangkan’ sebuah televisyen ke kampung halamannya. – MalaysiaGazette