Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi mahu menyatakankan kepada umum berhubung isu beberapa pucuk surat yang dihantar oleh setiausaha agung partinya kepada Zuraida Kamaruddin.

Beliau tegas mahu Naib Presiden PKR itu supaya hadir ke mesyuarat kerana semua perkara boleh dibincangkan di situ.

“Saya tak mahu bincang di sini, datang sahaja mesyuarat kita bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-6 Mengenai Sejarah dan Kebudayaan:Tempoh Penjajah di Tanah Melayu dan Isu-isu Peradaban di Universiti Islam Antarabangsa Cawangan (UIAM), Kuala Lumpur di sini hari ini.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia dan Institut Pemikiran Tamadun Islam UIAM.

Anwar menambah, beliau ketika ini lebih selesa untuk membicarakan soal peradaban Melayu dan bukan mengenai perkara-perkara lain.

Semalam, Zuraida ketika ditemui pemberita menegaskan beliau tidak akan melayan atau mengiktiraf sebarang jawapan daripada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung ketiga-tiga surat yang diserah kepadanya.

Sebaliknya, menurut Zuraida, beliau menunggu jawapan daripada Anwar berhubung penyerahan surat untuk beliau bertemu Ahli Parlimen Port Dicskon itu.

Pada 20 Ogos lalu, Zuraida mendedahkan permintaannya yang tidak ditunaikan Anwar menjadi salah satu punca mengapa beberapa pemimpin parti bertindak untuk tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak hadir beberapa kali ke mesyuarat MPP, Anwar tidak mengetahui sama ada Ahli Parlimen Gombak itu memboikot untuk tidak hadir ke mesyuarat atau tidak.

“Saya tak tahu boikot tak boikot yang saya tahu meeting tak datang. Saya sudah nasihat dia (Azmin) mesti datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette