Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media khas selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Kabinet di Kementerian Pengakutan, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 04 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Sebanyak 55,673 peserta e-hailing kini memiliki lesen Ujian Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, sejumlah 30,000 peserta lulus ujian PSV pada Ogos lalu setelah lanjutan selama tiga bulan bermula 12 Julai lalu.

Pada Julai, lebih 20,000  peserta yang mendaftar dan jumlah tersebut bertambah pada bulan lepas.

“Kalau mereka dapatkan ujian PSV ini, ia bukan susah sangat kerana dalam sebulan boleh tambah 30,000 peserta,” katanya dalam sidang media di kementeriannya, hari ini.

Untuk rekod, sejumlah 86,789 calon telah mendaftarkan diri masing bagi menduduki ujian PSV.

Daripada jumlah itu 76,484 telah menduduki ujian di mana 55,673 daripadanya lulus ujian PSV.

“Kementerian tidak letakkan sasaran bagi peserta PSV, mereka boleh mengambil ujian sebanyak mana yang boleh. Kami tidak ada masalah mengenai itu,” katanya lagi.

Sebelum lanjutan tempoh tiga bulan itu hanya 10 peratus pemandu e-hailing mempunyai lesen PSV. -MalaysiaGazette