Mohamad Sabu
Mohamad Sabu. foto FAREEZ FADZIL, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Orang ramai diharap tidak membuat spekulasi tentang kematian pegawai komando dari 11 Gerup Gerak Khas (11 GGK) Mejar Zahir Armaya akibat terkena tembakan.

Sebaliknya menurut Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, semua pihak perlu menghormati keluarga Allahyarham dan menunggu sehingga keputusan bedah siasat dibuat.

Selain ucapan takziah, Mohamad turut berharap keluarga Allahyarham Mejar Zahir Armaya tabah menghadapi kehilangan ini.

Pemergian Mejar Zahir Armaya itu tambahnya turut dirasai oleh seluruh kakitangan Kementerian Pertahanan.

“Saya berharap keluarga kepada Allaharyam tabah menghadapi suasana pilu ini dan kami di Kementerian Pertahanan amat bersimpati atas kesedihan ini.

“Saya juga mengharapkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga laporan bedah siasat selesai bagi menghormati keluarga Allahyarham,” katanya menerusi kenyataan media.

Allahyarham yang juga anak kepada seniman veteran tanah air, A.R Badul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu pada pukul 9.20 pagi tadi.

Pemergiannya tular di media sosial sejak pagi tadi.

Allahyarham bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dikatakan terkena tembakan dalam demonstrasi gimik melibatkan pasukan khas itu sempena paluan berundur Markas 5 Briged.-MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Anak AR Badul meninggal dunia terkena tembakan