Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mendapatkan dana sebanyak RM4 bilion tersebut yang dipinjam oleh SRC International Sdn. Bhd.(SRC) kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dengan jaminan Kerajaan Persekutuan yang telah digunakan di merata dunia.

Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion (AS$1.1 bilion) dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk BSI Bank di Switzerland (lebih AS$800 juta), Bank Julius Baer & Co. Ltd di Hong Kong (AS$ 250 juta) dan sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (AS$ 60 juta).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan melalui SRC sedang giat mengambil tindakan sivil untuk tujuan tersebut dan bekerja dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk menjejaki wang tersebut, selain bekerja dengan penasihat undang-undang untuk menentukan tindakan sivil yang boleh diambil bagi mendapatkan kembali aset SRC.

Langkah-langkah yang diambil itu tidak termasuk sebahagian dana SRC berjumlah RM42 juta yang didakwa telah diselewengkan daripada SRC, yang merupakan perkara subjek tujuh pertuduhan jenayah, yang mana prosiding kes tersebut masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Segala dana yang dapat dikembalikan kepada SRC dalam usaha di atas akan digunakan untuk membayar balik pinjaman daripada KWAP, tambah Guan Eng.

Pada masa yang sama, ini akan mengurangkan bebanan Kerajaan untuk membayar balik pinjaman tersebut bagi pihak SRC, dan melebihkan peruntukan kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.

SRC merupakan sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2012. – MalaysiaGazette