Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media khas selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Kabinet di Kementerian Pengakutan, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 04 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang memperoleh lesen memandu di luar negara tidak perlu menjalani proses mendapatkan lesen tersebut sekembalinya mereka ke negara ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, dasar baharu itu terpakai kepada mana-mana rakyat Malaysia di luar negara dan peserta program Malaysia MySecond Home (MM2H).

“Lesen memandu negara asal yang dipunyai oleh individu berkenan masih sah dan berkuatkuasa. Lesen memandu yang dimaksudkan adalah lesen memandu penuh dan tidak termasuk lesen atau permit belajar memandu, lesen sementara atau lesen percubaan.

“Lesen memandu negara asal akan ditukarkan kepada Lesen Percubaan (Lesen P),” katanya dalam sidang media di kementeriannya, hari ini.

Dalam pada itu, peserta MM2H dan warganegara Malaysia yang diberikan lesen memandu dari negara bukan penjamin kepada sebarang triti atau Perjanjian Dengan Malaysia diwajibkan menduduki ujian teori undang-undang sahaja.

Menurut Anthony, ia bertujuan bagi memastikan mereka memahami undang-undang dan peraturan jalan raya di negara ini yang berbeza dengan negara pemohon.

“Bagi peserta MM2H, lesen memandu mereka akan dibatalkan sekiranya mana-mana peserta program melanggar mana-mana syarat program, atau telah dibatalkan daripada program dan didapati bersalah melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya di negara ini.

Pelaksanaan ini akan berkuatkuasa awal November ini. -MalaysiaGazette