Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT), Leftenan Kolonel (B) Nazari Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya menguruskan badal haji percuma kepada Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya yang terkorban akibat terkena tembakan dalam insiden pagi tadi.

Malah, kerajaan perlu menyediakan sebuah kediaman untuk balu dan lima orang anak allahyarham, kata Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT), Leftenan Kolonel (B) Nazari Mokhtar.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu apabila menghulurkan tabungan daripada mana-mana sumber boleh dianggap sebagai tanda penghargaan negara.

“Walaupun sumbangan ini terlalu kecil dari negara kepada seorang perwira namun ianya pasti dapat mengubat hati kerinduan dan kehilangan yang dirasai mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nazari berasa terkilan dan terkejut dengan insiden yang berlaku hingga melibatkan kehilangan nyawa.

Katanya, Badan Penyiasatan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pastinya dibentuk dan hasil siasatan akan di majukan kepada pihak peguam negara.

Tambah beliau, sama ada kejadian itu berpunca daripada kesilapan teknikal atau salah laku manusia ia mestilah disiasat dengan rapi.

“Kebimbangan kita agar insiden seumpama ini tidak akan berlaku lagi kerana ia sangat merugikan apabila negara kita kehilangan seorang tenaga pakar yang terlatih dalam hal ehwal dan selok belok peperangan.

“Saya menyeru agar urusan jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya ini disemadikan dengan adat istiadat ketenteraan yang sempurna.

“Pihak MINDEF (Kementerian Pertahanan) digesa untuk memastikan urusan pencen, pembiayaan dan pampasan almarhum dibuat sebaik mungkin,” ujarnya. – MalaysiaGazette