Yang Dipertua YADIM, Nik Omar Nik Abdul Aziz menerima kunjugan Dr Zakir Nak di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini menerima kunjungan muhibah daripada pakar dan penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik di ibu pejabatnya di Putrajaya.

Dalam kunjungan selama sejam bermula pukul 8.30 pagi itu, Yadim yang diwakili Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz bertukar pandangan dengan Dr Zakir mengenai pelbagai perkara terutamanya isu semasa dan bidang dakwah.

“Dalam pertemuan ini, kedua pihak bersetuju kaedah terbaik untuk berdakwah pada ketika ini ialah menerusi pendekatan rahmah dengan saling menyantuni dan mencari titik persamaan serta mengelak permusuhan atau perpecahan.

“Yadim dan Zakir Naik juga bersetuju, bahawa dalam berdakwah, hak hak orang bukan Islam mesti ditunaikan manakala hak orang Islam hendaklah dipertahankan,” kata agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan.

Turut hadir pada pertemuan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Kamarul Arief Tuan Soh, Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Mohamad Raimi Ab. Rahim dan Pengerusi Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, Datuk Dr Abdul Halim Yusuf. – MalaysiaGazette