Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Siri Dialog Digital Native Agenda 23 (DNA 23) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 05 SEPTEMBER 2019

BANGI – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekali lagi agar setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memberikan kerjasama kepada polis.

Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia terlibat dalam kes rusuhan bersenjata.

Katanya, walaupun beliau dimaklumkan laporan polis mengenai kes tersebut telah ditarik balik oleh pengadu namun Farhash perlu berbuat demikian jika diminta.

“Farhash ok, saya dah bagitahu dia supaya pergi jumpa polis walaupun dia kata laporan polis ditarik balik tapi kalau polis nak jumpa, dia kena beri kerjasamalah,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu pada program Dialog Digital Native Agenda 23 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai perkembangan terbaru Farhash selepas polis memaklumkan pihaknya gagal mengesan beliau untuk siasatan berhubung insiden di Kompleks Sukan Arena All Stars di Ampang, Kuala Lumpur pada malam 31 Ogos lalu.

Polis menamakan Farhash sebagai suspek utama dalam kes rusuhan itu di mana seorang lelaki mendakwa diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi.

Kejadian itu menyebabkan pengadu mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan dan sakit di bahagian kemaluan.

Dalam perkembangan lain, Anwar ketika ditanya mengenai penyebaran video seks terbaharu didakwa melibatkan timbalan presiden partinya, beliau tidak mahu terlibat dalam perkara itu.

Ujarnya, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan tidak mahu melayan isu berkenaan lagi selepas ini.

“Saya sudah tegaskan saya tak mahu layan. Itu serah pada polis,” ujarnya.

Awal pagi hari ini, sebanyak enam lagi klip video disebarkan dengan pelakunya dipercayai membabitkan Menteri hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Momahed Azmin Ali.

Penyebaran video tersebut merupakan kali ketiga selepas yang pertama disebar pada Jun lalu.

Ia diedarkan melalui kumpulan Whatsaap bertajuk “Video Terkini Azmin” yang diwujudkan pada pukul 3.35 pagi tadi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Farhash masih belum muncul bantu siasatan – SAC Fadzil