Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama anaknya, Nooryana Najwa Mohd Najib (dua kiri) ketika hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Berbeza sedikit nada berbanding dua hari lepas, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin hari ini memberitahu mahkamah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai perwatakan gentleman.

Ia dinyatakan ketika pemeriksaan balas di mahkamah.

Antara yang disenaraikan oleh bekas pegawai khas Najib itu termasuklah bekas perdana menteri seorang yang berkarisma, bijak dan seorang strategis yang mahir.

Malah kata Amhari ketika pemeriksaan balas oleh peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika bertanya penjelasan tentang watak gentleman – bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, Najib sebenarnya seseorang yang tidak mengambil kesempatan walaupun mempunyai kuasa.

Shafee: Anda kata Datuk Najib seorang gentleman, berkarisma, bijak, pandai mengemudi perancangan dengan baik. Apa maksud gentleman itu?

Amhari: Walaupun sedar beliau mempunyai kuasa besar di mana beliau sememangnya boleh menyalahguna kuasa itu, Datuk Najib tidak pernah melakukan demikian.

Shafee: Jadi anda kata beliau tidak salah guna kuasa? Adakah anda pernah melihat beliau hilang sabar dan marah?

Amhari: Saya pernah lihatnya hilang sabar.

Shafee: Tapi selalunya tidak begitu?

Amhari: Setuju.

Shafee: Adakah beliau dengar pandangan pegawai-pegawainya?

Amhari: Benar.

Shafee: Apa maksud anda beliau boleh capai matlamatnya?

Amhari: Beliau seorang perancang strategis yang bagus.

Shafee: Anda cakap beliau ada strategi dengan membiarkan pegawai-pegawainya bekerja dalam silos jika diperlukan. Adakah itu kritikan atau pemerhatian?

Amhari: Itu pemerhatian saya.

Shafee: Bila anda menyertai Pejabat Perdana Menteri (PMO), anda dikehendaki mengambil ikrar akur janji rahsia, kerana ada akta rahsia itulah maka tidak ada yang beri maklumat rahsia kepada pihak lain?

Amhari: Setuju.

Shafee: Apa maksud anda bekerja dalam silos?

Amhari: Itu bermaksud seorang pegawai itu bekerja sendirian dan tidak memberitahu pegawai lain dengan apa yang sedang dilakukan olehnya.

Dalam pada itu, Amhari turut memberitahu perwatakan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jo Low yang diisifatkan sebagai ‘pakar manipulasi (master manipulator.)

“Dia (Jho Low) mampu bertemu dan memujuk orang di pelbagai kedudukan, sama ada berpangkat tinggi, pertengahan atau rendah melibatkan orang dan organisasi tempatan dan luar negara untuk mendapatkan apa yang dimahukannya.

“Sehingga pada kebanyakan masa kita tidak kenal siapa orang itu. Jho Low juga pernah mencadangkan agar kelab bola sepak Inggeris, Manchester City datang ke Malaysia untuk perlawanan persahabatan.

“Hubungan Najib dan keluarganya juga sangat rapat dengan Jho Low kerana saya sendiri beberapa kali pernah nampak beliau keluar masuk kediamaan di Langgak Duta banyak kali berbanding orang lain,” ujarnya.

Najib ketika ini berdepan dengan tuduhan penyewelengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion selain daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Perbicaraan mahkamah ditangguhkan hari ini oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sehingga Selasa depan pukul 9.30 pagi dengan pemeriksaan balas bersama saksi sama. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dsn pernah berkata beliau tidak kenal Jho Low. Saksi kata hubungan mereka rapat. Siapa yang tipu siapa ya?

Comments are closed.