Mohamadou Sumareh berjaya muncul sebagai wira dengan dua gol pada pembukaan Kumpulan G pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.-pix FAM

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 3-2 pada pembukaan Kumpulan G pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.

Pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh berjaya muncul sebagai wira dengan dua gol peribadi selain menamatkan badi selama 15 tahun Harimau Malaya tanpa kemenangan di stadium keramat tuan rumah itu.

Kemenangan penuh dramatik itu membolehkan Malaysia meraih tiga mata sulung berharga di tempat lawan.

Perlawanan bermula dengan garang apabila Garuda agresif mengasak kubu Malaysia hang menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketinggalan seawal minit ke-12 selepas pemain kelahiran Brazil Alberto Goncalves meledak gol pendahuluan.

Bagaimanapun, Sumareh yang mendapat kerakyatan Malaysia tahun lalu menyamakan kedudukan 25 minit kemudian tidak sampai dua minit beraksi di atas padang.

Dua minit kemudian, penyerang Indonesia, Goncalves yang juga pemain tertua dalam skuad tersebut berusia 38 tahun kembali meletakkan Garuda di depan semula.

Babak kedua menyaksiakan tempo permainan Malaysia berubah apabila lebih kerap mengasak namun gol gagal diterjemahkan ke dalam gawang.

Namun pada minit ke-66, Harimau Malaya  menyamakan kedudukan melalui tandukan Syafik Ahmad sebelum Sumareh yang kelahiran Gambia itu memastikan Harimau Malaya pulang bergaya.

Gol pada minit ke-97 oleh Sumareh itu melenyapkan sorakan penyokong tuan rumah yang mencetuskan kontroversi hingga perlawan terhenti selama lima minit gara-gara tindakan segelintir individu memasuki trek stadium dan cuba menyerang kawasan penyokong Malaysia. – MalaysiaGazette