Stuart Ramalingam

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai insiden kekecohan penyokong pasukan Garuda semalam.

Setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam berkata, FAM telah mengambil keputusan untuk mengambil tindakan dan sedang mengumpul bukti kukuh bagi melaporkan kejadian semalam kepada kedua dua badan pemantau bola sepak antarabangsa itu.

Kata beliau, FAM kecewa dengan gangguan penyokong pada perlawanan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Indonesia lawan Malaysia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, semalam.

Menurutnya profesionalisme telah dipamerkan oleh pemain dan pegawai kedua-dua negara akan tetapi perlawanan tetap dicemari oleh insiden di luar padang.

“FAM anggap negara jiran kita, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) melalui pihak kuasa tempatan gagal menjangkakan insiden yang telah berlaku justeru gagal mengotakan janji yang diberikan mereka secara umum untuk perlawanan ini.

“Malah mereka juga gagal mengawal sikap penyokong sepanjang pra mahupun ketika serta selepas perlawanan berlangsung sekaligus mencemarkan imej bola sepak Indonesia.

“Tidak ada tempat dalam sukan bola sepak untuk gejala hooliganisme dan gangsterisme dan oleh itu, kami telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan dan sedang mengumpul bukti kukuh bagi melaporkan kejadian semalam kepada FIFA dan AFC,” katanya dalam kenyataan dalam laman Facebook Rasmi FAM hari ini.

Tambah beliau, walaupun disediakan polis pengiring dari lapangan terbang ke stadium dan sebaliknya khusus untuk lebih 300 penyokong Malaysia dalam enam buah bas – keadaan menjadi huru-hara sambil menyatakan kekecewaan dengan jawatankuasa pengelola tempatan berikutan kegagalan mereka menunaikan janji.

Menurutnya, beliau mendoakan keselamatan bagi penyokong Malaysia yang masih berada di Indonesia supaya selamat pulang ke Malaysia.

“Terima kasih atas sokongan padu anda terhadap skuad kebangsaan, Harimau Malaya dan kami juga menggesa anda untuk mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri mahupun rakyat Indonesia.

“Penyokong Malaysia secara umumnya dilihat bertindak balas secara positif malam tadi dan tidak mengikut sebarang provokasi. Lantaran itu,

“Kami nasihatkan anda untuk kekal sabar dan terus menghormati penyokong luar ke negara kita – sama ada peminat Indonesia, UAE, Thailand atau Vietnam terhadap semua perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional nanti,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette