KOTA BHARU – Istana Kelantan hari ini amat kesal dan membantah penyebaran gambar peribadi Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di media sosial beserta semua kiriman yang tidak beradab berkaitan kehidupan peribadi baginda di media sosial.
Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata Istana Kelantan turut menafikan sekeras-kerasnya segala kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah yang disiarkan bersama gambar berkenaan.
Beliau berkata bukan menjadi kelaziman pihak istana memberi penjelasan kepada bualan di media sosial tetapi Istana Kelantan memutuskan untuk menjernihkan kekeruhan yang sengaja ditimbulkan untuk mengelirukan rakyat.
“Sekali lagi pihak istana menyeru supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah.
Nik Mohd Shafriman berkata Sultan Muhammad V sebagai sultan yang memerintah negeri Kelantan tidak seharusnya dikaitkan dengan fitnah dan coretan yang tidak sahih di media sosial.
Beliau berkata fitnah berupa coretan yang tidak benar ini mencemarkan nama baik kesultanan Kelantan dan kerabat diraja Kelantan.
“Sultan Muhammad V turut menzahirkan kekesalan dan rasa yang amat dukacita di atas kekhilafan peribadi baginda yang mengakibatkan kekeliruan di kalangan rakyat sehingga mendatangkan pertelagahan di media sosial kerana didorong oleh khabar angin yang tidak sahih.
“Sebaliknya, baginda berharap agar rakyat dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ayahanda baginda yang amat dikasihi, Sultan Ismail Petra yang sedang gering.
“Semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmati seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA