Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah

KUALA LUMPUR – Beberapa lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung insiden kematian seorang komando di Kem Lok Kawi, Sabah, Rabu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata setakat ini, pihaknya telah mengambil keterangan seorang anggota tentera berusia 37 tahun yang ditahan pada hari kejadian.

“Beliau (anggota itu) bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama selepas keterangannya diambil. Siasatan berhubung insiden itu masih dijalankan dan polis akan memanggil beberapa lagi individu dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan penuh berhubung insiden itu termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Mej Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada Rabu selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.- BERNAMA