Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BATU PAHAT – Terdapat 12 calon berkelayakan yang dilihat mampu mengisi kekosongan jawatan pengerusi PKR Johor, kata Presidennya, Anwar Ibrahim.

Jawatan itu kosong setelah ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dilaporkan menghantar surat peletakan jawatannya kepada Anwar pada minggu kedua bulan Julai.

Untuk rekod, ini kali kedua Hassan melepaskan jawatan pengerusi PKR negeri selepas menarik balik keputusan itu tahun lepas.

“Dia (Hassan) ambil keputusan, saya bagi dia ruang agak panjang dan saya terima keputusan dia. Saya akan bincangkan selepas ini apa yang kita akan lakukan.

“Calon ramai yang layak… ada 12 orang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Negara Bangsa-Siri 2 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai pengganti yang sesuai selepas jawatan itu kosong sejak Julai.

Terdahulu, Hassan dilaporkan turut menamakan timbalan pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse sebagai penggantinya.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon turut dilapor menyatakan hasrat untuk mengetuai PKR Johor. – Bernama