MIRI – Murid-murid yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasan yang dilanda jerebu akan diberi topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga.

Sektretariat Jawatankuasan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak berkata, topeng muka diserahkan kepada Jabatan Pendidikan negeri bagi persediaan UPSR untuk bahagian Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman pagi ini.

“Jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 201, sekolah ditutup tetapi murid yang menduduki UPSR akan diteruskan dengan pemantauan ketat oleh sekolah dan petugas pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, topeng muka juga akan diserahkan kepada bahagian lain secara berperingkat.

Seramai 40,448 murid Tahun Enam di Sarawak menduduki UPSR yang bermula Rabu lepas.

Setakat pukul 9 pagi ini, Kuching mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 204 manakala lapan kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat antara 106 hingga 186 termasuk tiga kawasan di Miri iaitu sekitar Bandar Raya Miri, Sekolah Kebangsaan (SK) Baram 2 serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri.

Kawasan lain mencatat IPU tidak sihat ialah Sri Aman, Samarahan, Sarikei, Sibu dan Mukah. – Bernama