Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Peluncuran Buku Panduan AWASpada di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sedih dengan sikap sesetengah pengguna Internet yang hilang rasa malu yang menghamburkan kata-kata kesat, memaki-hamun malah dengan sanggup membuli pengguna lain.

Katanya, sebagai orang Islam dan masyarakat timur, pengguna Internet sepatutnya lebih berhemah dan berbudi-bahasa.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat menambah, trend berita palsu yang semakin meningkat akhir-akhir ini juga membimbangkan.

“Ada sesetengah pihak sanggup menjadi “penulis upahan” malahan terdapat juga terma “fakery” –

“Trend ini amat membimbangkan kerana masyarakat boleh menjadi kucar-kacir hasil penularan berita palsu.

“Kebebasan yang diberikan mestilah digunakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Selain itu, penggunaan Internet oleh golongan kanak-kanak dan remaja yang tidak dipantau oleh ibu bapa di negara ini juga membimbangkan.

Katanya, CyberSecurity Malaysia telah melaksanakan Kajian Tanda Aras (Baseline) Kesedaran Keselamatan Siber bersama Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2016.

Hasil kajian mendapati hampir 45 peratus kanak-kanak berumur antara 7 hingga 9 tahun, 67 peratus berumur 10 hingga 12 tahun dan 92.5 peratus berumur 13 hingga 17 tahun menggunakan Internet dalam masa dua hingga tiga hari seminggu.

Selain itu menurut Wan Azizah, kajian tersebut turut mendapati, 66 peratus kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun dan 38.6 peratus berumur 13 hingga 17 tahun mengakses laman-laman media sosial selama satu hingga dua jam setiap hari.

Kajian tersebut turut merumuskan empat jenis ancaman yang dikenalpasti, iaitu Buli Siber, Pengaruh Media Sosial, Jenayah Siber dan Ketagihan Internet.

“Menyedari akan wujudnya ancaman dan jenayah siber yang kini semakin berleluasa, usaha-usaha perlu digembeling bagi meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan Internet secara positif dan beretika.

Salah satu inisiatif yang diambil oleh MCPF adalah melalui Program dan Buku Panduan AWASpada.

Dengan mempunyai pemahaman yang betul mengenai tatacara melayari dan mengguna media sosial dan permainan dalam talian, saya percaya ia akan dapat membantu mengelakkan kita semua daripada melakukan jenayah siber atau menjadi mangsa jenayah siber,” katanya semasa berucap melancarkan Program AWASpada Keselamatan Siber di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Malaysia Productivity Corporation (MPC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Cybersecurity Malaysia dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Turut hadir Pengerusi MPC, Tian Chua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast