Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap pada sesi dialog khas pemberdayaan ekonomi umat atau Halfest Jakim di Pusat Pameran MINES, Seri Kembangan, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 08 SEPTEMBER 2019

SERI KEMBANGAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof bagi membincangkan perkara-perkara penting dalam usaha membantu golongan asnaf yang terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Presiden PKR itu berkata, langkah itu dibuat supaya usahawan asnaf tidak merasa terbeban atau menghadapi kesukaran bagi mendapatkan sijil halal untuk memasarkan produk mereka.

Beliau mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi kelonggaran kepada golongan tersebut dengan tidak meletakkan kedudukan mereka sama seperti permohonan daripada syarikat-syarikat besar.

“Saya yakin Dr Mujahid sangat prihatin dalam perkara ini, saya terharu dengan sikap beliau yang menekankan keperluan membantu golongan asnaf.

“Tak apa, biar saya bincang dengan Mujahid dan saya percaya ini akan dapat diselesaikan,” katanya.

Anwar berkata demikian menjawab soalan seorang peserta pada sesi dialog khas bertajuk Pemberdayaan Ekonomi Umat sempena Halal Fiesta 2019 di MIECC di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menyarankan agar orang ramai mengutamakan produk halal keluaran IKS untuk dijadikan sebagai cenderamata atau hadiah kepada sahabat handai terutama pelancong asing.

Katanya, perkara itu dijadikan amalan oleh isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail setiap kali menerima kunjungan daripada pembesar-pembesar negara asing.

Tambah beliau, Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri sering menghadiahkan kepada tetamunya madu dan juga coklat buatan tempatan serta akan menceritakan sekali tentang khasiat yang ada pada makanan yang terkandung dalam hadiahnya itu.

“Ini cara kita promosi barang tempatan dan ini memberi peluang kepada syarikat-syarikat kecil. Dia (Azizah) pun beli daripada syarikat kecil.

“Saya bangga dan saya pun tak terfikir macam itu, tapi bos saya timbalan perdana menteri sekarang boleh buat begitu,” ujarnya sambil disambut ketawa orang ramai yang hadir pada sesi dialog berkenaan. – MalaysiaGazette