Rafael Nadal terbaring di atas gelanggang selepas bertarung lima jam dalam lima set sebelum bergelar juara Tenis Terbuka AS 2019.

NEW YORK – Jaguh tenis dunia, Rafael Nadal tidak diberi laluan mudah dalam aksi final sebelum bergelar juara Terbuka Amerika Syarikat 2019 kali ini.

Sebaliknya bintang Sepanyol itu terpaksa berhempas pulas mengenepikan tentangan sengit pemain Rusia Daniil Medvedev dalam lima set untuk menjulang Grand Slam ke-19 kariernya.

Dalam aksi penuh dramatik di New York, pemain nombor dua dunia itu menundukkan Medvedev 7-5 6-3 5-7 4-6 6-4 yang mengambil masa agak lama iaitu 4 jam 50 minit sebelum mengesahkan gelaran kali ini menjadi miliknya.

Selepas menang mata penamat, Nadal sebak akibat tidak tahan kegembiraannya di atas gelanggang.

“Ini merupakan malam paling beremosi dalam karier tenis saya. Bila mata terakhir dipungut untuk bergelar juara, sememangnya tidat mengawal emosi saya.

“Cabaran selama hampir lima jam untuk mengesahkan gelaran sah milik saya suatu aksi final yang luar biasa,” katanya selepas perlawanan.

Ia merupakan gelaran keempat Terbuka AS yang dimenangi Nadal dalam kariernya.

Medvedev, 23, merakamkan tahniah kepada Nadal atas kejayaannya memenangi Grand Slams ke-19 kariernya.

Aksi kedua dua pemain yang tidak mahu mudah menyerah kalah demi gelaran berprestij itu mengejutkan 24,000 penyokong yang kaku dengan perlawanan selama hanmpir 5 jam di Arthur Ashe Stadium.

Ketika ini, Roger Federer memegang rekod20 gelaran Grand Slam dalam karier tenis setakat ini yang mana Nadal hanya dipisahkan perbezaaan satu lagi gelaran untuk berdiri seiiring dengan pesaing terkuatnya itu.

Ditanya mengenai sasaran gelaran Grand Slam Ke-20, Nadal bagaimanapun memberitahu pemberita dia tidak memikirkan mengenainya.

“Saya tidak memikirkannya ketika ini, saya cuma mahu menang sebarapa banyak gelaran yang mampu dalam tenis,” katanya secara ringkas.- MalaysiaGazette