Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA mempersoalkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memaklumkan selagi kes masih aktif, sebarang maklumat mengenai siasatan adalah sulit.

Ia merujuk kepada siasatan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Tanya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, apa maksud aktif yang disebut oleh Latheefa Koya itu.

Ini kerana, pada pemahamannya, kenyataan Latheefa secara logiknya tidak bermaksud “siasatan kes telah selesai, tiada tindakan lanjut dan kes ditutup”.

Sebaliknya, kenyataan aktif yang dibuat oleh Latheefa bermaksud “siasatan kes dan tindakan pendakwaan masih belum disempurnakan”.

Bagaimanapun, kata Ka Siong kenyataan itu berbeza dengan penyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 17 April lalu.

Kata Chow SPRM telah menghantar dua pucuk surat untuk membersihkan nama syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd dan pemilik syarikat tersebut daripada sebarang salahlaku.

Untuk rekod, kenyataan Ketua Menteri ini dibuat dua bulan sebelum Latheefa dilantik menerajui SPRM.

Lantaran itu, kata Ka Siong terdapat dua persoalan di sini iaitu Latheefa baru saja kata kes siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang masih aktif.

Tetapi lima bulan yang lalu Chow kata SPRM telah membersihkan nama Consortium Zenith Construction Sdn Bhd dan pemiliknya.

“Sekarang Rakyat nak ikut cakap siapa? Ketua Menteri Pulau Pinang atau KP SPRM? Siapakah pihak berkuasa dalam siasatan kes ini?

“Pelik, pelik, pelik!,” ujar Ka Siong.

Soalnya lagi, apakah locus standi Chow sedangkan beliau sendiri bersama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan beberapa orang lagi Exco Pulau Pinang didakwa kononnya telah menerima wang atau dana daripada Zarul.

Kenyataan itu adalah menurut pendedahan kertas siasatan dan laporan media Malaysia.today.net yang masih tiada pihak yang berani menafikan kesahihannya.

“Kalau menurut kenyataan Latheefa, ia bererti siasatan SPRM masih berjalan, apakah sebab kelewatan siasatan dan maklumbalas Jabatan Peguam Negara memandangkan kes ini telah disiasat sejak tahun 2017?,” soalnya. – MalaysiaGazette