Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melancarkan satu
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyeru Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin untuk mengambil tindakan-tindakan yang proaktif berhubung isu jerebu yang melanda negara.

Sehingga hari ini, Ketua DPIM, Shahir Adnan mendakwa menteri berkenaan sekadar mengumumkan bahawa Malaysia akan menghantar Nota Diplomatik kepada Indonesia di atas kejadian jerebu merentas sempadan yang menyaksikan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara meningkat dengan mendadak, dengan Kuching, Sarawak pada tahap tidak sihat.

“Adalah amat memalukan apabila menteri sejawat dari Indonesia, Siti Nurbaya, Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan menemplak dan menafikan bahawa jerebu merentas sempadan adalah dari Indonesia.

“Persoalannya, apakah yang akan dilakukan oleh Yeo Bee Yin sekarang apabila rakan sejawat menafikan soal jerebu ini mentah-mentah. Menteri dilihat culas dalam menangani isu jerebu seolah-olah kerajaan tidak boleh bertindak dan membiarkan rakyat Malaysia menderita. Ini bukan isu bencana alam semulajadi. Ini adalah bencana buatan manusia yang boleh diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan rekod sidang parlimen pada tahun 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam sekitar pada waktu itu menyatakan bahawa Presiden Indonesia membuat akujanji bahawa Indonesia memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk menyelesaikan masalah jerebu namun, masalah jerebu menghantui Malaysia setiap tahun sehingga sekarang.

“Di peringkat antarabangsa, Nota Diplomatik bukanlah satu-satunya cara untuk mengajak Indonesia menyelesaikan masalah jerebu. Seharusnya Yeo Bee Yin menggesa ASEAN untuk mewujudkan atau memperkasakan Jawatankuasa Alam Sekitar Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan untuk mengatasi masalah ini.

“Penguatkuasaan adalah penting bagi menghindar teknik “tebas dan bakar” untuk membersihkan dan penanaman kelapa sawit,” kata Shahir.

Kerajaan juga seharusnya membekalkan topeng kepada anak-anak di sekolah dan kelonggaran untuk diberi cuti kepada anak-anak di sekolah apabila bacaan IPU tidak sihat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast