Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

KUALA LUMPUR – Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang ditahan tengahari tadi dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata Farhash dibebaskan jam 5 petang tadi selepas menyerah diri.

“Suspek bekerja sebagai Setiausaha Politik dan telah memberikan kerjasama kepada pihak Polis dalam tindakan melengkapkan siasatan.

“Proses siasatan telah dijalankan ke atas suspek. Ujian saringan awal air kencing juga telah dibuat dan didapati negatif dari sebarang jenis dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Farhash sebelum ini diminta tampil membantu siasatan kejadian merusuh dengan senjata pada 31 Ogos lalu di Ampang.

Sebelum ini, tiga suspek telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang antaranya jurulatih Muay Thai berusia antara 26 dan 35 tahun.

Julai lalu, Farhash turut ditahan reman bagi siasatan kes video intim individu yang dikaikan dengan seorang menteri Kabinet.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis. -MalaysiaGazette