Lakaran artis projek pembangunan komersial Iconic Point.

KUALA LUMPUR – Iconic Point, projek hartanah komersial yang dibangunkan Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) di Pulau Pinang habis dijual dalam tempoh 10 minit selepas dijualannya dibuka awal minggu ini.

Jumlah unit yang dijual semalam adalah 70 peratus daripada keseluruhan unit yang ditawarkan selepas 30 peratus sudah terjual semasa pelancaran awal sebelum ini.

Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet berkata, pembeli beratur sejak 4.30 pagi lagi untuk memastikan unit-unit hartanah itu dapat dimiliki.

Katanya, kejayaan Iconic Point ini mengulangi kejayaan projek Icon City yang telah disiapkan lima tahun lalu.

Iconic Point adalah projek hartanah melibatkan kawasan seluas 8.7 ekar itu akan menampilkan 49 unit kedai pejabat berkembar dan terpisah berkonsep moden dengan lif dikongsi individu.

Selain itu, hotel butik setinggi empat tingkat juga akan dibangunkan di kawasan tersebut, bagi menyediakan kemudahan penginapan yang selesa kepada para pengunjung di Iconic Point.

Tan berkata, Iconic Point dijangka menjadi salah satu pusat komersial utama dan mercu tanda di kawasan pembandaran Simpang Ampat, yang mana projek pembangunan bebas ini dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2022.

Selain itu, projek hartanah ini terletak di lokasi strategik berdekatan dengan simpang Jalan Permatang Tinggi dan Jalan Bukit Tambun, berdekatan dengan Lebuh Raya Utara Selatan.

Iconic Point merupakan projek usaha sama antara Iconic Maison Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Iconic Worldwide dan Iconic Development Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast