Korea Utara didakwa melepaskan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu dari Wonson, pada 10 September 2019 -foto Agensi

SEOUL – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu yang tidak dapat dipastikan jenisnya pada pagi ini, kata Ketua Pegawai Bersama Korea Selatan (JCS).

Peluru-peluru itu dilancarkan dari wilayah Pyongan Selatan ke arah timur, kata JCS dalam satu kenyataan.

Ia merupakan pelancaran peluru berpandu kali kelapan sejak Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un bertemu di Zon Penampan sempadan dua Korea pada Jun lalu.

Pelancaran itu dibuat selepas sejam Naib Menteri Luar Korea Utara Choe Son Hui mengumumkan Pyongyang bersedia  menyambung semula rundingan dengan Amerika Syarikat pada September nanti, pada masa dan tempat yang dipersetujui.

Cuma, Choe mengingatkan supaya Washington perlu mengemukakan pendekatan baharu atau rundingan akan gagal sekali lagi.

Namun, jurucakap Jabatan Negara berkata, pihaknya tidak ada membuat sebarang perbincangan untuk diumumkan pada masa ini.

Trump dan Kim bersetuju untuk memulakan rundingan peringkat kerja bagi menghapuskan nuklear yang terhenti sejak sidang kemuncak di Hanoi pada Februari lalu gagal.

Sementara itu, seorang pegawai pentadbiran Trump berkata, pihaknya tahu mengenai pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara dan terus memantau perkembangan secara dengan bersama-sama sekutunya di rantau tersebut.

Korea Utara sebelum ini mendakwa pembangunan senjata-senjata baharu bagi menangani ancaman ketenteraan dan tekanan kepada keselamatannya.

Bagaimanapun, penganalisis berkata, rentetan pelancaran menyerlahkan bagaimana Korea Utara dapat memajukan lagi keupayaan ketenteraannya tanpa adanya perjanjian konkrit dengan Amerika Syarikat.

Banyak peluru berpandu terbaru yang dilancarkan oleh Korea Utara kelihatannya jenis baru yang direka untuk mengelakkan pintasan oleh sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast