Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) bersama sebahagian Exco-exco Pemuda UMNO bercakap selepas Mesyuarat Exco Pergerakan UMNO di Bilik Mesyuarat Tingkat 38, Menara Datuk ONN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pas tidak perlu meminta maaf kepada UMNO kerana pernah melabel parti itu sebagai kafir sebelum ini.

Sebaliknya, sudah tiba masa Pas dan UMNO menjadi parti yang maju dalam usaha membangunkan ummah, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, kolaborasi antara UMNO dan Pas bukan sahaja kerana Islam tetapi ia lebih kepada manifestasi dalam membangunkan sebuah negara.

“Apa yang berlaku antara UMNO dan PAs biarlah ia berlalu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di sini hari ini.

Asyraf berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Pemuda UMNO berhubung kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyarankan agar Pas  menarik balik amanat oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah mengkafirkan UMNO sebelum memuktamadkan kerjasama melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) pada Sabtu ini.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu sidang media di Alor Setar hari ini berkata, Pas sejak dahulu menuduh UMNO sebagai parti kafir dengan kenyataan di dalam Amanat Haji Hadi, menyebabkan kerjasama baharu antara mereka sukar dilaksana.

Katanya, Abdul Hadi juga perlu meminta maaf secara terbuka kepada UMNO kerana mengkafirkan parti itu sebelum membuat perjanjian baharu berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan kerjasama antara Pas dan UMNO dengan mengingatkan mereka bahawa isu ‘kafir’ yang pernah dibawakan oleh Hadi pernah menjadi satu agenda besar.

Mengulas lanjut Asyraf menambah, Pas dan UMNO mempunyai pandangan yang jauh apabila mahu mewujudkan sebuah masyarakat yang tulen berdasarkan pemahaman dan kerjasama penuh dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kedua-kedua parti saling menghormati dalam perkara tersebut dan mahu hubungan kerjasama yang terjalin menempa kejayaan.

Asyraf turut menyatakan bahawa Mahathir yang perlu meminta maaf kepada Pas terlebih dahulu berhubung isu Memali, Kedah yang mengorbankan banyak nyawa.

Ujarnya,  Mahathir boleh membuat permohonan maaf tersebut secara terbuka kerana kejadian di Memali berlaku pada waktu beliau menjadi Perdana Menteri keempat.

“Beliau (Mahathir) perlu bertanggungjawab berhubung perkara ini. Ini bukan isu kafir atau Islam tetapi melibatkan kematian banyak nyawa.

“Pas juga boleh mengembalikan semula peristiwa sewaktu Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat. Beliau tidak memohon maaf sehingga ke hari ini berhubung peristiwa di Memali,” tegasnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama, mengumumkan kerjasama antara kedua-dua parti akan diputuskan melalui pemeteraian piagam dan MoU pada 14 September ini.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti dan majlis itu akan dihadiri semua pemimpin UMNO serta Pas dari seluruh negara. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tarik balik kenyataan UMNO kafir dulu sebelum kerjasama – PM