Datuk Amiruddin Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah. foto IQBAL BASRI, 26 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan melanjutkan tempoh pengeluar perabut bumiputera mendapatkan pensijilan FRIM PCS selama 6 bulan lagi, iaitu sehingga 31 Disember ini bagi syarikat yang masih belum selesai proses pengujian produk mereka.

Sehingga  11 September lalu, sebanyak 20 daripada 87 syarikat pengeluar perabot Bumiputera sebagai panel di bawah Kontrak Panel Berpusat (KPB) gagal memperoleh sijil dalam tempoh yang ditetapkan, 30 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, 15 syarikat masih dalam proses pengujian dan 5 syarikat lagi langsung tidak mengemukakan permohonan kepada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah berkata, kelonggaran itu tidak melibatkan lima syarikat yang langsung tidak mengemukakan produk mereka untuk pensijilan FRIM PCS.

“Namun demikian, sekiranya syarikat masih berminat untuk
menyertai KPB Perabot, pengusaha-pengusaha ini boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan, tertakluk kepada syarikat telah memperolehi pensijilan FRIM PCS dalam tempoh lanjutan ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menyatakan demikian bagi menafikan dakwaan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bahawa Kementerian
Kewangan tidak berlaku adil terhadap 33 syarikat perabot Bumiputera daripada senarai KPB.

Menurut Amiruddin, pada 22 Jun 2018 pihaknya telah menyenaraikan 87 syarikat pengeluar perabot Bumiputera sebagai panel di bawah KPB Perabot untuk tempoh 3 tahun iaitu mulai 1 Julai 2018 sehingga 30 Jun 2021.

“Syarikat yang terbabit dikehendaki untuk mendapatkan pensijilan FRIM PCS dalam tempoh satu  tahun kontrak berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2019 (tarikh akhir mendapatkan pensijilan).

“Kegagalan untuk mematuhi syarat tersebut akan menyebabkan syarikat terbabit digugurkan secara automatik daripada senarai KPB,” ujarnya.

Kata Amiruddin, sebanyak 54 syarikat telah berjaya mendapatkan pensijilan FRIM PCS dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 30 Jun 2019. – MalaysiaGazette