Robert Mugabe. foto Agensi

SINGAPURA – Mayat Robert Mugabe diterbangkan dari Singapura pagi  ini selepas lima hari beliau meninggal dunia di sebuah hospital di bandar raya ini.

Sebuah pesawat dijadualkan menerbangkan mayat Mugabe dari Singapura pada jam 8.50 pagi (0040 GMT).

Ia dijangka tiba di Zimbabwe pada jam 3 petang (Rabu, 1300GMT), menurut keluarganya.

Bekas Presiden Zimbabwe itu meninggal dunia pada Jumaat lalu pada usia 95 tahun ketika sedang menerima rawatan.

Beliau telah mendominasi politik Zimbabwe hampir empat dekad bermula dari kemerdekaan pada tahun 1980 sehingga berlaku rampasan kuasa pada November 2017.

Keluarga Mugabe menolak cadangan kerajaan untuk mengebumikannya di Monumen Pahlawan Nasional Acre di Harare dan mahu mayat tersebut dikebumikan di kampung halamannya, kata saudara-maranya. – MalaysiaGazette