Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin bercakap kepada media mengenai hak wakil kesatuan dan ahli-ahlinya di Empire Tower, Subang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 11 SEPTEMBER 2019

SUBANG JAYA- Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) meminta supaya Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran bertanggung jawab terhadap nasib krew kabin terutamanya ahli-ahli kesatuan yang ditindas majikan melalui pelbagai cara termasuk pemberhentian kerja secara tidak adil.

NUFAM juga memberikan tempoh 48 jam kepada pengurusan Malaysia Airlines (MAS) dan pemiliknya, Khazanah Nasional Bhd. memohon maaf kepada pekerja-pekerja yang telah diberhentikan.

Menurut Presidennya, Ismail Nasaruddin, isu-isu pemberhentian pekerja secara tidak adil dan menghalang kesatuan daripada melakukan tugas mereka mewakili dan melindungi ahli-ahli sudah berlanjutan terlalu lama.

Namun, sehingga kini tiada pihak yang dilihat betul-betul mahu menyelesaikannya

“Kementerian Sumber Manusia kena bertanggung jawab kerana kami mahu seseorang yang boleh mempertikaikan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh syarikat penerbangan.

“Kita mahu isu-isu ini diselesaikan.

“Kami tidak mahu sekadar jawapan “kami akan melihat kepadanya” kerana itu bukan jawapan yang baik.

“Apakah ada tindakan susulan diambil? Tiada.

“Sementara kita semua bercakap, berapa lagi (pekerja) yang kena (ditindas)?

“Apakah patut semua kes perlu dibawa ke mahkamah (sedangkan kementerian boleh mengambil tindakan tegas kepada majikan yang melanggar peraturan)?” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Kali terakhir NUFAM bertemu dengan Kula Segaran adalah pada Mac tahun ini, tambahnya.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin bersama Setiausaha Agung, Mohd Akram Osman dan Setiausaha Kanan, Shashi Kumar menunjukkan plakad pada sidang mediadi Empire Tower, Subang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 11 SEPTEMBER 2019

Untuk rekod, Ismail merupakan salah seorang kakitangan MAS yang telah dipecat kerana menjalankan tanggung jawabnya sebagai wakil kesatuan.

Beliau ketika itu meminta Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari untuk meletakkan jawatan kerana gagal memulihkan kerugiaan syarikat penerbangan tersebut.

Selepas melalui pelbagai prosedur undang-undang selama kira-kira enam tahun, Mahkamah Tinggi pada 4 September lalu membuat keputusan membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan pada awal tahun ini yang berpihak kepada majikan beliau.

Menurut Ismail, tidak semua anak-anak kapal mempunyai kemampuan terutamanya dari segi kewangan untuk memperjuangkan nasib mereka melalui saluran mahkamah.

“Kepada sesiapa yang bertanggung jawab, saya minta mereka untuk meletakkan jawatan.

“Saya tidak merujuk kepada sesiapa tetapi jika isu ini tidak ditangani dengan baik dan masih tiada jalan penyelesaiannya saya rasa mereka patut meletakkan jawatan.

“Ini bukan satu permintaan agresif sebaliknya sesuatu yang adil,” tegasnya.-MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.