Timbalan Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Seri Mohamad Ali (tengah) bercakap kepada media selepas menyerahkan laporan siasatan forensik seks luar tabii melibatkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali di Pejabat Presiden PKR di Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 11 SEPTEMBER 2019

PETALING JAYA – Sekretariat Suara Rakyat mahu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa isu salah laku moral timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke dalam mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Ali berkata, perkara itu perlu dilakukan berdasarkan kepada laporan siasatan pakar forensik dari United Kingdom yang dibekalkan pihaknya kepada pejabat Anwar, hari ini.

“Datuk Seri Anwar tidak lama lagi akan menggalas jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 dan sebelum itu, kita mahu bahawa perkara serius ini, kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Datuk Seri Azmin ini dapat dinilai berdasarkan laporan forensik yang kita beri.

“Boleh juga dinilai dan dilihat untuk diketengahkan, mungkin Datuk Seri Anwar sebagai Presiden PKR dapat membawanya ke dalam mesyuarat penuh PKR atau Lembaga Disiplin untuk mengambil tindakan.

“Ini kerana kita yakin jika seseorang itu nak menjadi pemimpin terbesar di negara kita iaitu Perdana Menteri, beliau mesti menunjukkan contoh teladan dan tindakan sewajarnya kepada Datuk Seri Azmin Ali,” katanya pada sidang media di luar pekarangan pejabat Anwar di Bukit Gasing, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan laporan siasatan pakar forensik terhadap klip video seks di luar tabii mirip menteri Kabinet kepada Pejabat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Gasing, di sini.

Selain itu, dua pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) itu turut menyerahkan 100 salinan laporan pakar forensik dari United Kingdom itu kepada wakil pejabat Anwar iaitu Setiausaha Sulit, Abdul Rahman Yusof.

Dalam pada itu, Mohamad dalam perancangan untuk mengedarkan laporan siasatan pakar forensik itu kepada Jemaah Menteri Kabinet dan Ahli-ahli Parlimen Malaysia dalam masa terdekat.

“Dalam minggu hadapan kita akan serahkan kepada semua menteri Kabinet dan semua Ahli Parlimen tentang segala dapatan siasatan forensik ini

“Kita juga sedang mencetak 100,000 naskhah laporan forensik ini untuk kita serahkan kepada seluruh pengundi di Parlimen Gombak dan kepada Azmin Ali sendiri di pejabat dan rumah beliau.

“Kita juga merancang melakukan ziarah ke tanah perkuburan ibu kepada Azmin Ali dalam kita mencari kebenaran ini,” katanya.

Beliau juga mendesak ketegasan dan ketelusan Anwar dalam menilai salah laku timbalan presidennya yang terpalit dengan skandal seks di luar tabii yang sehingga kini tiada sebarang tindakan dikenakan.

“Mana ketegasan dan ketelusan Datuk Seri Anwar dalam menegakkan keadilan kerana sebagai rakyat biasa kita mahu keadilan dapat diwujudkan di negara kini, ini bukan saja oleh rakyat biasa.

“Bahkan keadilan dan keluhuran undang-undang perlu diwujudkan kepada semua rakyat tanpa mengira darjat, keturunan dan juga kedudukan mereka.

“Kami yakin dan percaya walaupun usaha kami tidak henti-henti kerana kami nak cari kebenaran kenapa mereka yang berjawatan tidak dikenakan tindakan tetapi orang-orang biasa saja yang dikenakan tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette