Dr. Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – MCA tidak bersetuju dengan pelancaran tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik, sebaliknya menggesa pihak kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendidikan nasional.

Setiausaha Organisasi MCA, Ling Tian Soon berkata, kenyataan Maszlee bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperuntukkan RM60 juta bagi memajukan industri pendidikan, yang mana 90 peratus daripadanya untuk kos operasi dan selebihnya adalah untuk tujuan pembangunan, adalah tidak rasional.

Ia kerana, menurut Bajet 2019, daripada RM60.2 bilion yang diperuntukkan, kebanyakannya digunakan untuk membayar gaji tenaga pengajar serta kos operasi.

“Jadi kenapakah 90 peratus daripada RM60 juta tadi masih perlu disalurkan kepada kos operasi?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini.

Ling berkata, membayar cukai pendapatan adalah tanggungjawab rakyat, manakala penggunaan dan pengagihan peruntukan secara bijaksana merupakan tanggungjawab kerajaan.

Tambahnya, walaupun KPM memperolehi 19.1 peratus daripada seluruh peruntukan, pihak KPM tetap mengurangkan banyak skim kebajikan yang membabitkan pelajar serta tenaga pengajar serta menghapuskan peruntukan khas dalam aktiviti kokurikulum sebanyak RM24.5 seorang.

Tindakan ini menyebabkan sekolah-sekolah seluruh negara mengalami kesempitan wang untuk menganjurkan pelbagai aktiviti di luar bilik darjah, termasuk Hari Sukan, dan terpaksa meminta derma daripada masyarakat umum.

Dakwa Ling lagi, KPM juga mengurangkan peruntukan pembersihan serta kos keselamatan hingga menimbulkan huru-hara dan kebimbangan di peringkat sekolah-sekolah.

“Pendidikan merupakan tanggungjawab kerajaan serta dasar strategik negara dan seandainya KPM bawah pimpinan PH kini terpaksa meminta derma untuk tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan IPTA, adakah ini bermakna KPM telah gagal dalam pengurusan sumbernya?

“Atau pun KPM bawah pucuk kepimpinan baharu ini telah membazirkan banyak sumber untuk tujuan lain yang tidak diketahui rakyat?,” soanya.

Sehubungan itu, Ling berkata, KPM perlu memperincikan bagaimana ia bakal menggunakan dana RM60.2 bilion tersebut untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat. – MalaysiaGazette