Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin bersama Setiausaha Agung NUFAM, Mohd Akram Osman dan Setiausaha Kanan NUFAM, Shashi Kumar (kanan) menunjukkan plakad pada sidang media mengenai hak wakil kesatuan dan ahli-ahlinya di Empire Tower, Subang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 11 SEPTEMBER 2019

SUBANG JAYA – Syarikat penerbangan, Malaysia Airlines (MAS) sukar untuk dipulihkan selagi masalah yang sama membelenggu syarikat penerbangan nasional itu tidak diselesaikan oleh kerajaan dan pihak pengurusannya.

Menurut Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin, antara isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu adalah ketirisan.

“Masalah sebenarnya adalah ketirisan.

“Ianya berlaku sejak sekian lama dan selagi puak-puak ini masih ada (sukar untuk MAS dipulihkan).

“Ingat MAS ini syarikat persendirian ke?” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

NUFAM yang terkenal lantang mengkritik pengurusan MAS sejak dahulu mahu pasukan pengurusan syarikat tersebut berubah bagi memastikan pelan pemulihannya dapat dilaksanakan dengan cara yang baik.

“Kita bukan mahu setiap ketua pegawai eksekutif MAS dipecat tetapi apa yang kami mahukan adalah perubahan dalam corak pentadbiran mereka.

“Kami mahukan mereka (pihak pengurusan MAS) lebih bertimbang-rasa dan menjaga kebajikan pekerja dengan lebih baik, bukan hanya menumpukan kepada aspek keuntungan semata-mata.

“Mereka sebenarnya boleh mencatatkan keuntungan dengan lebih baik jika menumpukan kepada kebajikan pekerja. Mereka juga tidak boleh menidakkan kewujudan kesatuan, mereka sepatutnya bertemu kami untuk berbincang dan mendapatkan pandangan,” katanya lagi.

Tambah Ismail, MAS ketika ini “hidup” atas ihsan kerajaan dan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan, katanya sambil merujuk kepada suntikan kewangan terbaharu sebanyak RM300 juta oleh Khazanah Nasional Bhd. baru-baru ini.

Pihak pengurusan menurut beliau, perlu berbelanja mengikut kemampuan dan bukannya sewenang-wenangnya menghabiskan duit untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan hasil seperti menaja pasukan bola sepak liga Eropah.

Pembeli-pembeli berpotensi yang berhasrat untuk mengambil alih MAS juga menurut Ismail, tidak lagi berminat selepas mengetahui kedudukan sebenar kewangan syarikat penerbangan itu.

“Kami telah melihat penyata kewangan MAS sebelum ini dan ada bertemu dengan pembeli-pembeli berpotensi.

“Tetapi apabila dimaklumkan mengenai kedudukan sebenar kewangan MAS, mereka terkejut kerana tidak menyangka MAS mempunyai begitu banyak hutang.

“Mereka tidak mengetahui perkara ini sebelum ini.

“Jika MAS masih tidak berubah, kita hanya akan melihat syarikat-syarikat penerbangan tambang rendah bergerak pantas meninggalkan kita,” katanya lagi.

Menurut Ismail, NUFAM berharap kerajaan, Khazanah Nasional dan pihak pengurusan kanan MAS duduk semeja dengan pekerja-pekerja syarikat penerbangan tersebut untuk berbincang kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu syarikat tersebut.

“Kami bukan serang CEO tetapi kami berharap pihak pengurusan boleh panggil semua balik dan mari kita berunding semula (mengenai pelan pemulihan syarikat), apa yang baik dan apa yang tidak baik supaya pelan pemulihan kali ini berjaya.

“Selama ini mereka hanya membentangkan sahaja apa-apa pelan dan meminta pekerja menerima sahaja yang diberi oleh pengurusan.

“Bagi pelan pemulihan sebelum ini, kami sudah nampak bahawa pelan tersebut akan gagal malah kami telah menyuarakan kebimbangan kami tetapi tidak diendahkan.

“Jadi, diharapkan selepas ini, pihak pengurusan dapat mendengar suara kakitangan syarikat,” katanya.

Pada 2014, MAS melaksanakan pelan pemulihan selama lima tahun bernilai RM6 bilion yang antara lain melibatkan pembuangan pekerja seramai 6,000 orang dan dinyah senarai daripada Bursa Malaysia.

Pelan tersebut bagaimanapun gagal menepati tarikh akhir yang ditetapkan termasuk pulih daripada kerugian pada 2018 dan disenarai semula ke Bursa Malaysia pada tahun ini.- MalaysiaGazette